BEKAS pemain badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei dan keluarganya terperangkap di Paris kerana banjir kilat di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sejak Khamis lalu.

Chong Wei bersama isterinya, Wong Mew Choo, serta dua anak lelaki mereka berkunjung ke Paris untuk majlis 'The Paris 100 Sino-French Badminton Charity Gala' sejak hujung minggu lalu.

Menerusi kemas kini terbaru Instagram 'story' miliknya, Chong Wei berkata, dia dan keluarga terpaksa menunggu di Paris kerana cuaca yang sangat buruk berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai yang menjadi tempat untuk transit pulang ke tanah air.

"Saya rindukan nasi lemak," kata bekas pemain badminton nombor satu dunia itu.

Hantaran di IG story Chong Wei tengah malam tadi

Menurut laporan akhbar, cuaca buruk yang berlaku di Dubai itu merupakan rekod yang terburuk pernah dicatatkan sejak tahun 1949.

Difahamkan, beberapa agensi kerajaan sedang berusaha membantu beliau dan rakyat Malaysia yang lain untuk kembali ke tanah air.